Isnin, 10 April 2017

PERBAHASAN FASAKH DALAM 4 MAZHAB

1.0 PENDAHULUAN

Hidup berpasangan merupakan lumrah dalam kehidupan. Hidup berumahtangga adakalanya akan bahagia dan adakalanya akan menjadi sebaliknya. Krisis rumahtangga selalu berlaku antara suami isteri yang bermasalah. Jalan penyelesaiannya adalah melalui penceraian jika tiada lagi persefahaman.
Pembubaran perkahwinan melalui fasakh tidaklah banyak menimbulkan persoalan memandangkan alasan-alasan untuk menuntut fasakh telah termaktub dalam undang-undang keluarga Islam. Walaupun hak untuk menuntut fasakh mengikut Hukum Syarak dibolehkan kepada suami dan isteri, secara umumnya hak fasakh dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talak.
Pelbagai alasan yang digunakan oleh hakim dalam mensabitkan kes fasakh. Hakim akan merujuk peruntukan yang berkaitan serta Hukum Syarak yang sedia ada. Penghakiman dalam mensabitkan kes fasakh adalah agak rumit jika berlakunya perkara-perkara yang samar dalam pembuktian. Walau bagaimana pun, pihak yang selalu membuat permohonan untuk fasakh adalah si isteri. Oleh itu, si isterilah yang seharusnya mempunyai bukti yang cukup serta memenuhi peruntukan yang sedia ada bagi memastikan penghakiman fasakh dapat dibuat bagi pihaknya.
Penghakiman dalam sesuatu kes memerlukan pelbagai cara bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya. Maslahah adalah sesuatu perkara yang boleh digunakan dalam menentukan hukuman sesuatu kes. Maslahah boleh ditakrifkan sebagai manfaat iaitu kebaikan dan faedah. Menurut Imam Ghazali dalam Kitab Al-Mustasfa mendefinisikan maslahah sebagai kefahaman asas tentang penghasilan kebaikan dan penolakan keburukan dan merujuk kepada lima objektif syarak. Iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Maslahah penting dalam sesuatu penghakiman bagi memastikan pemuliharaan objektif syarak dapat dijaga dengan baik. Konsep maslahah ini juga dapat digunakan dalam penghakiman kes pembubaran perkahwinan secara fasakh. Fasakh dari segi bahasanya bermaksud rosak atau putus. Manakala istilahnya ialah pembubaran perkahwinan yang dilakukan apabila terdapat sebab-sebab munasabah yang diharuskan oleh syarak. Pelbagai alasan yang boleh menyebabkan jatuhnya hukum fasakh dan membubarkan perkahwinan tersebut.
Fasakh adalah sesuatu perkara yang telah dibincangkan dan dibahaskan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Empat imam besar iaitu Imam Malik, Hanafi, Syafie dan Hanbali juga telah membincangkan dan membahaskan soal fasakh. Ada di antara mereka yang telah berbeza pendapat tentang sesuatu perkara yang terdapat dalam perbincangan fasakh. Di dalam tugasan ini akan diterangkan serba sedikit tentang fasakh dan akan dikemukakan juga serba sedikit tentang perbahasan fasakh menurut empat mazhab iaitu Imam Malik, Hanafi, Syafie dan Hanbali.


2.0 PENGERTIAN

Fasakh dari segi bahasa ertinya rosak atau putus. Maksud fasakh dari segi istilah ialah penceraian iaitu merosak atau merombak hubungan pernikahan antara suami isteri. Perombakan pernikahan ini dilakukan oleh hakim dengan syarat-syarat dan sebab-sebab yang tertentu tanpa ucapan talak.
Penceraian dengan fasakh tidak dapat dirujuk. Jika suami hendak kembali kepada isterinya maka harus dengan akad yang baru. Meskipun penceraian fasakh dilakukan dengan berulang-ulang sehingga melebihi tiga kali, si suami tetap boleh kembali kepada isterinya dengan cara akad nikah yang baru.
Dalam buku yang berjudul Soal Jawab Fiqh Harian mengatakan bahawa fasakh beerti membatalkan perkahwinan pasangan suami isteri melalui kuasa kadi disebabkan mempunyai sebab-sebab tertentu.
Dalam buku karya Dr. Zaleha Kamaruddin Raihanah Abdullah mengatakan bahawa fasakh ialah pembatalan perkahwinan yang dilakukan atas permintaan salah seorang daripada suami atau isteri kepada mahkamah. Fasakh boleh berlaku secara automatik seperti salah seorang daripada pasangan bukan beragama Islam atau kedua-dua suami isteri mempunyai pertalian yang mengharamkan perkahwinan seperti adik susuan.
Walau bagaimanapun, perkara seperti ini perlu dikemukakan kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan kebenaran supaya perkahwinan mereka dibatalkan. Selain daripada itu, fasakh juga boleh berlaku disebabkan oleh aib yang terdapat pada pasangan masing-masing seperti yang telah diiktirafkan oleh Hukum Syarak sebagai aib yang boleh menjadi sebab kepada pembatalan perkahwinan tersebut.
Dalam karya Dr. Peunoh Daly pula mengatakan bahawa fasakh terdapat dalam khiyar nikah iaitu memilih salah satu di antara dua kemungkinan. Hal ini membawa maksud bahawa pasangan tersebut memilih untuk melanjutkan perkahwinan atau memilih penceraian dengan jalan fasakh.
Suatu perkahwinan itu boleh dilakukan khiyar apabila terdapat beberapa sebab tertentu seperti aib, tidak mampu memberi nafkah atau mudharat.
Dalam buku yang berjudul Asas Kekeluargaan Islam mengatakan bahawa fasakh ialah pembatalan akan perkahwinan disebabkan kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau disebabkan kecacatan mendatang yang menghalang daripada kekalnya perkahwinan.
Dalam buku yang berjudul Hukum Perkahwinan Dalam Islam pula mengatakan bahawa fasakh ialah si isteri menuntut pada Mahkamah Syariah supaya dibatalkan pernikahannya. Fasakh ini bertujuan untuk memelihara hak perempuan serta menolak dan menjauhkan si isteri daripada kemudharatan. Si isteri yang telah cukup umrnya boleh meminta fasakh.


3.0 DALIL FASAKH

Firman Allah S.W.T: 

وإن امرأة خافت من بعلها نشوزا أو إعراضا فلا جناح عليهما أن يصلحا بينهما صلحا والصلح خير وأحضرت الأنفس الشح وإن 
تحسنوا وتتقوا فإن الله كان بما تعملون خبيرا

Maksudnya:
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka suami isteri membuat perdamaian di antara mereka berdua kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka daripada bercerai-berai. Sedang sifat bakhil kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika berlaku baik dalam pergaulan dan mencegah diri daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan.
                                                  (Surah Al-Nisa’: Ayat 128)


Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

فر من المجذوم كما تفر من الأسد

Maksudnya:
Larilah dari orang yang terkena kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.
                                                      (Riwayat Al-Bukhari)

Dalil-dalil di atas adalah dalil-dalil yang menjadi asas perundangan bagi fasakh yang telah diambil dalam Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad S.A.W.


4.0 HUKUM FASAKH

Isteri diharuskan meminta fasakh bagi menjaga kemaslahatan kedua belah pihak.
Fasakh adalah hak suami dan isteri.
Perpisahan melalui cara fasakh dikira talak ba’in sughro dan iddahnya ialah tiga kali suci haid.


5.0 PERBEZAAN DI ANTARA PENCERAIAN TALAK DAN PENCERAIAN FASAKH

Cerai talak terbahagi kepada dua iaitu talak ba’in dan talak raj’i. Talak ba’in ialah membubarkan ikatan pernikahan secara terus-menerus. Talak raj’i pula ialah membubarkan ikatan pernikahan secara tidak terus-menerus akan tetapi terhurainya setelah selesainya iddah. Dalam talak raj’i, suami boleh merujuk isterinya iaitu mengembalikan isterinya ke dalam kuasa peliharaannya tanpa menunggu selesainya iddah dan ianya dilakukan tanpa mahar yang baru dan tidak perlu ada kerelaan isteri.
Cerai fasakh pula ialah membubarkan ikatan pernikahan secara terus-menerus atau perpisahan yang kekal. Hal ini bermaksud suami tidak boleh mengembalikan isterinya ke dalam kuasa peliharaannya kecuali dengan akad yang baru dan adakalanya tidak boleh sama sekali.
Pada cerai talak, kuasa menjatuhkan talak dan bilangannya dimiliki oleh suami. Manakala cerai fasakh pula kadangkala tertaluk pada keputusan kadi (Mahkamah Syariah) dan kadangkala tidak. Lelaki yang merdeka memiliki tiga kali talak dalam cerai talak akan tetapi cerai fasakh tidak mengurangkan bilangan talak.


6.0 BENTUK PENCERAIAN SAMA ADA IANYA DIANGGAP TALAK ATAU FASAKH

Sebagaimana yang telah maklum bahawa penceraian terbahagi kepada dua iaitu talak dan fasakh. Penceraian yang terbahagi kepada dua ini mempunyai pelbagai bentuk. Para fuqaha berbeza pendapat dalam menentukan bentuk-bentuk penceraian itu sama ada ianya talak atau fasakh.

6.1 Mazhab Syafie
Penceraian yang dianggap talak:
1) Mengeluarkan perkataan cerai sama ada secara terus terang atau kiasan.
2) Khulu’ (Tebus Talak).
3) Ila’.
4) Penceraian melalui Majlis Hakim. Apabila suami mewakilkan dua orang sebagai hakim untuk menceraikan isterinya atau pihak isteri mewakilkan dua orang hakin kepada suaminya supaya untuk menceraikannya dengan tebusan bayaran harta lalu mereka melakukan demikian, maka hal ini dianggap cerai talak bukan lagi fasakh.

Antara penceraian yang dianggap fasakh:
Disebabkan kesukaran suami membayar mahar atau nafkah pakaian dan tempat tinggal setelah diberi tempoh tiga hari oleh kadi.
Li’an.
Penceraian disebabkan kecacatan (aib).
Penceraian disebabkan salah seorang suami atau isteri menganut agama Islam yang sebelum ini kedua-duanya bukan beragama Islam.
Penceraian disebabkan murtad sama ada ianya dilakukan oleh suami atau isteri.
Penceraian disebabkan tidak ada kesetaraan di anatara suami isteri.

6.2 Mazhab Hanbali
Penceraian yang dianggap talak:
Setiap penceraian yang menggunakan salah satu daripada perkataan-perkataan cerai dengan secara terus terang atau kiasan.
Antara penceraian yang dianggap fasakh:
1) Khulu’ yang menggunakan selain perkataan talak atau niatnya.
2) Salah seorang daripada suami atau isteri menjadi murtad.
3) Cerai disebabkan kecacatan (aib) dan tidak terfasakh kecuali dengan keputusan hakim.
4) Cerai dengan keputusan hakim disebabkan tidak mampu membayar mahar, nafkah atau sebagainya.
5) Apabila salah seorang suami atau isteri memeluk Islam maka nikah mereka terfasakh apabila tamat iddah atau pun isteri memeluk Islam semasa dia masih dalam iddah dan suaminya juga memeluk agama Islam maka pernikahan mereka tetap kekal dan tidak terfasakh.
6) Penceraian disebabkan li’an. Hal ini kerana li’an itu menjadikan pernikahan mereka adalah haram selama-lamanya walaupun hakim tidak menghukum sedemikian.

6.3 Mazhab Maliki
Penceraian yang dianggap talak:
1) Akad fasid (rosak) yang perselisihan pendapat tentang fasidnya. Misalnya nikah kanak-kanak dan nikah tanpa wali.
2) Hakim memfasakhkan pernikahan disebabkan suatu kecacatan. Penceraian ini dianggap talak ba’in sama ada suami menceraikan isterinya atau dia menyuruh isterinya menceraikan dirinya sendiri.
3) Murtad dianggap talak ba’in oleh qaul yang masyhur.
4) Khulu’ dianggap talak sarih (terus terang).
5) Suami menceraikan isteri secara terus terang atau kiasan (kinayah).
6) Cerai disebabkan ila’.
7)Cerai disebabkan tidak mampu membayar mahar atau nafkah. Jika suami enggan melaksanakannya maka hakim akan menceraikan mereka dengan cerai raj’i.

Antara penceraian yang dianggap fsasakh:
1) Akad fasid yang dipersetujui kerosakannya. Misalnya seorang lelaki bernikah dengan perempuan yang masih dalam tempoh iddah disebabkan suami yang terdahulu atau berakad dengan perempuan yang diharamkan bernikah dengannya.
2) Penceraian disebabkan bernikah mut’ah. Hal ini adalah menurut qaul muktamad kerana ianya telah dipersetujui oleh Imam-Imam Mazhab dan pendapat yang mengatakan harus ialah pendapat yang ganjil serta tidak dapat dipegang kebenarannya.
Penceraian disebabkan penyusuan.
Penceraian disebabkan li’an. Li’an menyebabkan keharaman buat selama-lamanya iaitu bekas isteri tidak boleh berkahwin semula dengannya walau dalam apa-apa jalan sekalipun. Hal ini bukanlah talak.
5) Penceraian disebabkan menjadi tawanan perang iaitu wanita kafir harbi yang ditawan yang mana suaminya itu juga merupakan kafir harbi. Apabila wanita itu menjadi tawanan perang maka dia tidak lagi dikira sebagai isteri kepada lelaki itu dan diharuskan kepada lelaki lain untuk mengahwininya setelah berlakunya satu kali haid.


7.0 SEBAB-SEBAB FASAKH

Terdapat aib (kecacatan) pada isteri ataupun pada suami.
Terdapat gharar (pembohongan, unsur yang diragui atau ketidak tentuan).
Suami tidak mampu menyerahkan mas kahwin secara tunai.
Suami tidak mampu memberikan nafkah.
Suami ghaib.
Hamba yang telah merdeka.
Suami hilang (mafqud).
Perbutatan yang membawa kemudharatan.


8.0 PERBAHASAN SEBAB-SEBAB FASAKH

Setiap pasangan suami isteri mempunyai hak untuk memilih sama ada ingin mengekalkan keutuhan pernikahan atau memfasakhnya disebabkan wujud salah satu daripada sebab-sebab berikut:



8.1 TERDAPAT AIB (KECACATAN) PADA ISTERI ATAUPUN SUAMI

Misalnya si isteri seorang yang gila, sakit kusta, sopak atau penyakit kemaluan yang menghilangkan rasa nikmat hubungan seks ataupun terdapat aib pada suami misalnya gila atau menderita lemah tenaga batin sehingga tidak mampu menyetubuhi atau memuaskan isteri.
Keinginan untuk menfasakh pernikahan perlu diperhatikan dengan cermat. Jika fasakh dibuat sebelum berlakunya persetubuhan maka suami berhak menuntut semula mas kahwin yang telah diberikan kepada isterinya. Jika fasakh dibuat setelah berlakunya persetubuhan maka suami tidak berhak menuntut semula pemberian mas kahwin tersebut walaupun sedikit kerana ia telah menjadi hak isteri disebabkan berlakunya persetubuhan.
Pendapat lain mengatakan bahawa suami berhak menuntut semula mas kahwin daripada salah seorang ahli keluarga isterinya yang telah melakukan gharar terhadapnya jika orang tersebut mengetahui aib (kecacatan) yang terdapat pada wanita yang diperisterikannya. Dalilnya ialah Athar daripada Umar Bin Khattab R.A dalam Kitab Al-Muwattak. Iaitu: “Mana-mana wanita yang ditawarkan kepada seseorang lelaki padahal wanita tersebut gila, kusta atau sopak maka mas kahwin menjadi milik wanita disebabkan suami telah mendapat sesuatu darinya (telah menyetubuhinya) dan mas kahwin menjadi milik suami disebabkan orang melakukan gharar (pembohongan) terhadapnya”.
Keempat-empat Imam Mazhab telah bersetuju bahawa jika suami atau isteri mengetahui kecacatan pasangannya sama ada sebelum atau selepas akad nikah tetapi ia rela dengan kecacatan itu sama ada secara terus terang atau tidak, maka ia tidak boleh menuntut fasakh di atas pernikahannya disebabkan kecacatan itu.
Keempat-empat imam itu juga bersepakat bahawa kecacatan yang diakui oleh Syarak sahaja yang membolehkan pasangan memilih untuk memfasakhkan pernikahan di antara suami isteri. Akan tetapi keempat-empat itu berselisih pendapat tentang jenis-jenis kecacatan yang boleh menyebabkan fasakh itu dibuat. Mereka juga berselisih pendapat mengenai siapakah yang berhak fasakh dan apakah hak fasakh itu diberikan kepada kedua-duanya atau salah seorang daripada suami isteri sahaja.
Menurut Imam Hanafi apabila suami mengetahui kecacatan isteri maka tidak sabit baginya memilih untuk memfasakhkan pernikahannya.
Menurut Imam Maliki bahawa suami berhak memilih untuk memfasakh pernikahannya apabila mengetahui isterinya gila, kusta, sopak atau sebarang kecacatan yang menghalang kelahiran anak.
Menurut Imam Hanbali apabila salah seorang suami atau isteri mendapati kecacatan pasangannya seperti penyakit gila, kusta, sopak, buasir dan bau mulut busuk maka bolehlah ia menuntut fasakh.
Dengan menggunakan kaedah qiyas, Ibn Al-Qaim berpendapat bahawa tiap-tiap kecacatan atau keaiban yang menjijikkan salah seorang daripada suami atau isteri sehingga terhalang tujuan atau konsep pernikahan iaitu saling menghormati dan mengasihi maka ia boleh menuntut fasakh. Beliau juga menyebut bahawa Imam Al-Zuhri ada berkata bahawa pernikahan boleh dibatalkan dengan sebab penyakit yang teruk. Akan tetapi Ibn Haz Al-Zahiri mengatakan bahawa apa juga kecacatan tidak boleh menjadi sebab menuntut fasakh.
Menurut Imam Syafie bahawa ada tiga kecacatan atau sebab yang membolehkan fasakh iaitu penyakit gila, kusta dan sopak. Akan tetapi di dalam Kitab Al-Raudah disebut empat kecacatan dan kecacatan yang keempat itu ialah penyakit mati pucuk yang telah dibincangkan secara berasingan.
Kecacatan yang menyebabkan fasakh ini terbahagi kepada tiga bahagian:
Kecacatan yang berlaku pada suami atau isteri iaitu penyakit gila baik gila berterusan mahupun gila terputus (berkala) sedangkan gilanya itu boleh diubati.
Kecacatan yang khusus bagi suami sahaja iaitu penyakit mati pucuk dan terpotong zakar.
Kecacatan yang khusus bagi isteri sahaja iaitu penyakit tertutup lubang kemaluan dengan daging atau tulang.
Muhammad Bin Al-Hassan berpendapat bahawa boleh fasakh disebabkan tiga kecacatan suami iaitu penyakit gila, kusta atau sopak. Pendapat Ibn Qaim pula boleh fasakh disebabkan kecacatan teruk yang kepada suami atau isteri.
Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf berpendapat bahawa harus diceraikan antara suami isteri jika si suami itu mati pucuk atau terputus zakarnya.
Imam Hanbali pula berpendapat bahawa pernikahan boleh difasakh disebabkan apa juga kecacatan. Menurutnya walaupun ada nas-nas yang menentukan beberapa jenis kecacatan yang membolehkan fasakh tetapi itu hanyalah sebagai contoh sahaja iaitu ianya bukan tertumpu hanya pada apa yang disebutkan dalam nas. Hal ini disebabkan pernikahan bukan hanya bertujuan untuk mendapatkan zuriat bahkan merangkumi kasih sayang, perpaduan dan ketenteraman. Oleh sebab itu apa juga kecacatan yang boleh menghalang tujuan itu bermakna ia tidak dapat mengekalkan keadaan rumahtangga dalam suasana harmoni dan ihsan.
Kesimpulannya, tiga daripada empat Imam Mazhab iaitu Imam Maliki, Syafie dan Hanbali mengharuskan penceraian fasakh disebabkan ada kecacatan seperti penyakit gila, kusta dan sopak dan apa-apa yang menghalang kelahiran anak sama ada kecacatan itu datang daripada si suami ataupun si isteri.
Tiga daripada empat Imam Mazhab iaitu Imam Maliki, Syafie dan Hanbali cuma berselisih pendapat tentang bentuk penceraian yang disebabkan oleh kecacatan tersebut. Imam Malik berpendapat bahawa penceraian itu dianggap sebagai talak ba’in. Manakala Imam Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa ia hanya dianggap sebagai penceraian fasakh. Hal ini kerana setiap penceraian yang tidak dijatuhkan talak oleh suami adalah dikira sebagai fasakh. Adapun penceraian talak hendaklah di atas kemahuan daripada suami.
8.1.1 Fasakh Disebabkan Gila, Kusta, Sopak, Ratqa’, Qarna’ Dan Mati Pucuk
Apabila suami atau isteri mendapati perkara tersebut berlaku maka masing-masing berhak untuk memfasakhkan pernikahan. Hal ini kerana ianya menghilangkan tujuan beristimta’ dalam pernikahan. Perkara itu ialah apabila suami atau isteri mendapati pasangannya berpenyakit gila sama ada gila yang terus menerus atau terputus-putus (berkala), kusta atau sopak. Perkara lain lagi ialah apabila suami mendapati bahawa lubang faraj isterinya tertutup dengan daging atau tulang dan isterinya mendapati bahawa suaminya mati pucuk atau terputus zakar.
Menurut Imam Al-Nawawi bahawa permulaan penyakit kusta dan sopak belum membolehkan fasakh lagi. Fasakh hanya dibolehkan apabila penyakit itu menjadi teruk iaitu pada peringkat daging terlerai bagi yang berpenyakit kusta manakala yang berpenyakit sopak pula hendaklah diakui oleh doktor pakar bahawa penyakit itu telah merebak dan tidak dapat diubati lagi.
Fasakh juga boleh dilakukan apabila kedua-dua suami isteri menghidapi penyakit yang sama atau tidak. Misalnya suami isteri menghidapi penyakit sopak ataupun suami berpenyakit sopak dan isteri berpenyakit kusta.
Jika berlaku kecacatan pada suami setelah berlaku akad nikah, isteri berhak menuntut fasakh disebabkan kemudharatan yang berlaku pada tubuh suaminya itu sama ada kecacatan itu terjadi sebelum persetubuhan atau selepas. Fasakh bagi kecacatan tersebut boleh dilakukan dengan segera kecuali fasakh disebabkan penyakit mati pucuk setelah berlakunya persetubuhan. Pihak isteri tidak berhak menuntut fasakh di atas pernikahannya dengan segera jika ianya disebabkan mati pucuk Hal ini kerana isteri telah mengetahui kesanggupan suaminya melakukan persetubuhan dan dia telah menikmatinya. Masalah mati pucuk berlainan dengan masalah terpotongnya zakar. Hal ini kerana dalam masalah terpotong zakar secara automatik harapan untuk bersetubuh telah musnah. Manakala dalam masalah mati pucuk masih ada harapan untuk disembuhkan.
Wali perempuan berhak menuntut fasakh bagi kecacatan penyakit gila, sopak dan kusta yang berlaku pada masa akad walaupun isteri meredai penyakit itu kerana penyakit-penyakit itu boleh menjatuhkan nama baiknya. Pendapat yang bertentangan pula ialah wali tidak berhak menuntut fasakh kerana kecacatan atau penyakit itu semua bukan terkena ke atas dirinya tetapi terkena ke atas diri perempuan itu.
Fasakh yang disebabkan oleh kecacatan suami atau isteri sama ada kecacatan itu berlaku serentak dengan akad atau selepasnya pada masa yang sama pasangan itu belum lagi bersetubuh maka boleh menggugurkan mas kahwin. Hal ini kerana pernikahan itu terbatal tanpa berlakunya persetubuhan. Fasakh yang berlaku selepas persetubuhan misalnya suami tidak mengetahui kecacatan isterinya melainkan selepas persetubuhan maka hendaklah ia membayar mahal mithl.

8.1.2 Syarat Fasakh Disebabkan Mati Pucuk
Apabila isteri mengetahui bahawa suaminya berpenyakit mati pucuk maka hendaklah ia mengemukakannya kepada Hakim Mahkamah supaya pihak mahkamah tersebut dapat membuat tindakan sekaligus dalam memfasakhkan pernikahan mereka jika sabit kecacatan itu. Demikianlah juga apa yang harus dilakukan ke atas kecacatan yang lainnya. Manakala pendapat yang bertentangan ialah pasangan tidak disyaratkan ke mahkamah dan mereka boleh melakukan fasakh dengan sendirinya. Hal ini adalah qiyas kepada pemfasakhkan dalam jual beli.

8.1.3 Sabit Mati Pucuk
Mati pucuk boleh sabit dengan pengakuan daripada suami sendiri di hadapan hakim atau disertai dengan keterangan tang boleh membuktikan pengakuannya.
Mati pucuk juga boleh sabit dengan sumpah daripada isteri setelah pihak suami enggan bersumpah untuk mengakuinya apabila Hakim Mahkamah menyuruhnya bersumpah. Hal ini bermaksud bahawa si suami hanya diam atau mengingkari tanpa alasan. Sumpah daripada isteri adalah diterima kerana ia mengetahui penyakit tersebutdan disertakan keterangan di mahkamah. Pendapat yang kedua pula mengatakan mahkamah tidak perlu meminta suami bersumpah bahkan hakim boleh menjatuhkan hukuman dengan keengganannya menjawab.
Apabila telah sabit penyakit mati pucuknya, pihak kadi hendaklah menetapkan tempoh setahun. Al-Rafa’i berkata bahawa inilah yang dilakukan oleh ulama iaitu tempoh setahun itu adalah sangat wajar. Setelah berlalunya tempoh setahun dan si suami masih juga tidak mempunyai kesanggupan untuk bersetubuh, ini bermakna penyakit suami itu sememangnya berasal daripada kelemahannya sendiri dan bukannya dipengaruhi oleh faktor luar yang lain.
Tempoh setahun itu bermula dari masa yang telah ditentukan oleh kadi. Pihak kadi menetapkan masa itu berdasarkan tuntutan yang telah dikemukakan oleh isteri kepada mahkamah. Penentuan tempoh setahun itu adalah sama bagi orang yang merdeka mahupun hamba abdi.
Apabila telah genap setahun hendaklah isteri membawa perkara itu semula ke mahkamah. Jika si suami mengatakan bahawa dia telah bersetubuh dengan isterinya di dalam tempoh setahun itu sedangkan isterinya menafikan dakwan suaminya itu maka pihak mahkamah hendaklah menyuruh suami untuk bersumpah ke atas pengakuannya yang mengatakan mereka telah bersetubuh. Jika si suami enggan untuk bersumpah hendaklah isteri pula yang disuruh bersumpah. Jika si isteri bersumpah bahawa suaminya tidak pernah bersetubuh dengannya atau si suami sendiri mengakui mereka tidak pernah bersetubuh dalam tempoh setahun itu maka barulah fasakh bolehkan dilaksanakan pada masa itu.
Jika isteri mengasingkan dirinya daripada suaminya dalam tempoh setahun tersebut disebabkan dirinya sakit atau dipenjarakan dalam tempoh tersebut maka tempoh itu tidak dikira dan hendaklah dimulakan dengan tahun yang berikutnya. Jika perkara seperti itu berlaku pada suami dalam tempoh tersebut maka tempoh setahun yang diberikan tetap dikira dan berjalan seperti biasa.
Seandainya si isteri itu reda akan penyakit mati pucuk suaminya selepas dari tempoh setahun maka haknya untuk menuntut fasakh adalah terbatal. Demikian juga jika si isteri menambahkan lagi tempoh masa setelah berlalunya setahun seperti memanjangkan lagi selama sebulan maka terbatallah juga haknya. Hal ini kerana fasakh itu hendaklah dilakukan dengan segera pada tempohnya manakala tindakan memanjangkan masa itu secara automatik dapat menghilangkan kesegeraan tersebut.
Menurut pendapat yang lain pula telah mengatakan bahawa haknya tidak terbatal bahkan dia melakukannya semata-mata disebabkan belas kasihan. Oleh itu, bolehlah dia memfasakhkan pernikahannya pada bila-bila masa yang dikehendakinya.


8.2 TERDAPAT GHARAR (PEMBOHONGAN, UNSUR YANG DIRAGUI ATAU KETIDAK TENTUAN)

Misalnya seorang lelaki Islam menikahi wanita Islam kemudiannya terbukti wanita tersebut adalah seorang Yahudi atau Kristian maka dibolehkan fasakh. Misal yang lain lagi ialah seorang lelaki menikahi wanita yang merdeka kemudiannya terbukti wanita itu adalah seorang hamba maka dibolehkan fasakh. Dalam keadaan seorang lelaki menikahi seorang wanita sihat kemudiannya terbukti wanita itu sakit seperti buta sebelah mata atau tempang maka dibolehkan juga fasakh.
Umar Bin Al-Khattab R.A berkata: “Mana-mana wanita yang ditawarkan kepada seseorang lelaki padahal wanita tersebut gila, kusta atau sopak maka mas kahwin menjadi milik wanita disebabkan suami telah mendapat sesuatu darinya (telah menyetubuhinya) dan mas kahwin menjadi milik suami disebabkan orang melakukan gharar (pembohongan) terhadapanya”
Jika dalam sesuatu perkahwinan itu seorang lelaki atau wanita mensyaratkan bakal isteri atau suami yang telah diketahuinya akan bernikah dengannya itu hendaklah mempunyai ciri-ciri tertentu seperti seorang yang baik, bujang, dara, berketurunan mulia atau kaya. Akan tetapi selepas bernikah, suami atau isteri mendapati orang yang dinikahinya itu tidak mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dikehendakinya. Maka dalam hal ini, menurut Qaul Al-Azhar pernikahan itu adalah sah. Alasannya ialah orang telah dinikahinya itu adalah orang yang diketahui akan bernikah dengannya iaitu tidak bertukar orang walaupun ciri-ciri orang itu telah menyalahi syarat yang telah ditetapkan.
Pendapat yang bertentangan pula ialah pernikahan itu terbatal kerana ia berpegang kepada ciri-ciri itu tanpa memandang kepada orang yang dinikahinya. Di sini membawa maksud iaitu orang menyalahi ciri-ciri atau sifat adalah sama seperti menyalahi diri atau peribadi orang yang telah menetapkan syarat tersebut. Contoh menyalahi peribadi orang yang telah menetapkan syarat adalah seperti apabila seorang wanita itu telah berkata: “Nikahkan saya dengan Zaid”. Akan tetapi wanita itu telah dinikahkan dengan Yusuf sedangkan wanita itu tidak mengetahui bahawa lelaki yang sedang bernikah dengannya itu adalah Yusuf. Maka secara automatik nikahnya itu tidak sah.
Dalam masalah seperti ini suami tidak wajib membayar apa-apa terhadap isteri jika dia belum disetubuhinya dan jika ianya telah disetubuhi maka tidak pula dikenakan hukum had. Para ulama telah berselisih pendapat mengenai masalah ini.
Jika ternyata orang yang dinikahinya itu mempunyai sifat atau ciri-ciri yang lebih baik daripada sifat yang dikehendakinya atau yang disyaratkan olehnya misalnya lelaki itu mensyaratkan supaya wanita yang akan dinikahinya itu adalah seorang hamba tetapi lelaki itu dinikahkan dengan seorang wanita yang merdeka atau lelaki itu telah mensyaratkan wanita itu adalah seorang janda tetapi dinikahkan dengan seorang wanita yang dara maka dalam hal seperti gugurlah hak untuk fasakh. Demikianlah juga jika perkara ini berlaku kepada wanita.
Jika wanita mensyaratkan bahawa suaminya itu hendaklah berjeturunan mulia sepertinya tetapi setelah bernikah ia mengetahui bahawa keturunan suaminya itu tidak semulia keturunannya maka si isteri itu berhak menuntut fasakh walaupun dia reda dengan kedudukan suaminya itu. Wali-walinya juga berhak menuntut fasakh untuk pernikahannya itu. Akan tetapi jika keturunan suaminya itu setanding dengan keturunan isteri atau lebih tinggi daripada isteri, menurut Qaul yang Azhar si isteri dan walinya tidak berhak menuntut fasakh kerana ia tidak ada keaiban di dalam hal seperti ini. Demikianlah juga jika hal seperti ini berlaku kepada lelaki.
Pada prinsipnya, menuntut fasakh pernikahan disebabkan hal seperti ini (menyalahi syarat yang telah ditetapkan) hendaklah disegerakan. Hal ini bermaksud ianya tidak perlu dimajukan kepada mahkamah. Akan tetap Imam Rafa’i telah berkata bahawa menyalahi syarat itu bermakna tidak sah akadnya maka hendaklah ia dimajukan kepada mahkamah sama seperti menuntut fasakh disebabkan kecacatan.
Jika seorang wanita itu telah diberi keizinan oleh walinya bernikah dengan seorang lelaki yang menjadi pilihannya dan disangka setanding dengannya kemudian ternyata lelaki itu adalah seorang yang fasik atau keturunan dan pekerjaannya tidak mulia maka dalam keadaan seperti ini gugurlah hak untuk menuntut fasakh. Hal ini adalah kerana disebabkan kecuaian tanpa membuat penyiasatan yang teliti. Akan tetapi menurut pandangan Imam Al-Nawawi jika ternyata lelaki itu mempunyai kecacatan atau seorang hamba maka isteri berhak menuntut fasakh.


8.3 SUAMI TIDAK MAMPU MENYERAHKAN MAS KAHWIN SECARA TUNAI

Jika suami tidak mampu menyerahkan mas kahwin secara tunai maka isteri berhak menuntut fasakh sebelum suaminya itu menyetubuhinya. Akan tetapi jika suaminya itu telah menyetubuhinya maka isteri tidak berhak menuntut fasakh.
Hal ini bermaksud mas kahwin tersebut dikira sebagai hutang suami dan isteri tidak boleh mengharamkan dirinya buat si suami.



8.4 SUAMI TIDAK MAMPU MEMBERIKAN NAFKAH.

Jika suami tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya maka si isteri harus menunggu beberapa waktu sehingga si suami mampu memberikan nafkah kepadanya. Jika suami masih gagal memberinya nafkah, ia berhak meminta fasakh pernikahan melalui kadi. Ini adalah pendapat para sahabat seperti Abu Hurairah, Umar Bin Khattab, Ali Bin Abu Talib. Pendapa ini juga adalah pendapat generasi Tabi’in seperti Hasan Basri, Umar Bin Abdul Aziz, Rabi’ah dan Imam Malik.
Isteri mempunyai hak untuk mengajukan permintaan fasakh nikah kepada hakim kerana suaminya tidak mampu memberi nafkah kepadanya. Demikianlah pendapat jumhur ulama.
Firman Allah S.W.T:
فأمسكوهن بمعروف أو سرحوهن بمعروف
Maksudnya: “Maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik”.
                                                (Surah Al-Baqarah: Ayat 231)
Pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W mendengar berita tentang seorang suami yang tidak mempunyai pendapatan untuk membiayai isterinya lalu Baginda S.A.W mengatakan supaya isterinya dilepaskan. Ucapan Nabi S.A.W ini dapat difahami dengan lebih mendalam jika dibuat perbandingan antara fasakh disebabkan kecacatan dan fasakh disebabkan ketidak mampuan suami memberi nafkah. Apabila boleh dilakukan tuntutan fasakh nikah oleh isteri disebabkan suaminya jubb atau ‘unnah kerana tidak mampu memenuhi hajat batin, maka ketidak mampuan memenuhi hajat zahir adalah lebih penting.
Tubuh manusia tidak hidup tanpa makanan dan pakaian (perlindungan) sedangkan tanpa bersetubuh manusia masih boleh selamat. Apabila boleh meminta fasakh disebabkan suami tidak mampu memenuhi hajat batin maka bolehlah juga melakukan tindakan yang sama apabila suami tidak mampu memenuhi nafkah zahir isterinya.

Dalam masalah suami tidak mampu memberi nafkah ini terdapat pelbagai pendapat ulama. Ibn Qayyim memperincikan ketidak mampuan itu seperti berikut: Apabila wanita itu sudah mengetahui tentang ketidak mampuan lelaki itu sebelum nikah atau pada awal permulaan nikah lelaki itu mampu kemudiannya jatuh miskin, maka tidak boleh wanita itu menuntut fasakh. Akan tetapi jika dalam keadaan lelaki itu berpura-pura mampu pada awal pernikahan kemudiannya ternyata lelaki itu tidak mampu maka wanita itu mempunyai hak untuk menuntut fasakh.
Ibnu Hazm pula berpendapat apabila suami tidak mempunyai penghasilan atau pendapatan sehingga dirinya sendiri pun tidak tertanggung sedangkan isterinya adalah seorang yang kaya maka haruslah isterinya memberi nafkah kepada suaminya dan isteri itu tidak boleh meminta kembali nafkah yang telah dikeluarkannya jika pada masa akan datang si suami itu mampu. Dalilnya ialah Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan atas orang yang berhak menerima warisan pun seperti itu juga”. Isteri termasuk orang yang berhak menerima warisan jika suaminya meninggal maka wajib pulalah ke atas dirinya memberi nafkah itu.
Menurut Mazhab Hanafi, isteri tidak boleh meminta cerai meskipun suami tidak mampu. Dalilnya ialah Firman Allah S.W.T:

لينفق ذو سعة من سعته ومن قذر عليه رزقه فلينفق ممآ ءاتاه الله لا يكلف الله نفسا إلا مآ ءاتاها سيجعل الله بعد عسر يسرا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu (suami) memberi nafkah mengikut kemampuannya. Dan siapa yang kurang mampu (dalam keadaan sempit) hendaklah memberi nafkah menurut kadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberatkan seseorang kecuali menurut kemampuannya. Allah akan menjadikan sesudah sempit menjadi senang”.
                                                (Surah At-Talaq: Ayat 7)
Pernah ditanyakan kepada Al-Zuhri tentang suami yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya, apakah diceraikan mereka? Jawabnya: “Sabarlah, jangan diceraikan keduanya”. Lalu beliau membaca ayat di atas.
Di antara sahabat Rasulullah S.A.W ada yang mampu dan ada pula yang tidak mampu namun tidak ada seorang pun isteri di kalangan mereka yang tidak mampu itu meminta cerai. Suami yang tidak mampu dan tidak memberi nafkah kepada isterinya adalah perbuatan yang zalim. Akan tetapi, untuk menghilangkan kezaliman itu, penceraian bukanlah merupakan satu-satunya jalan tetapi masih ada pelbagai macam jalan yang lain. Di antaranya ialah hakim dapat bertindak untuk menjual sebahagian harta suami untuk membiayai isterinya atau suami diancam dengan hukuman penjara bagi tujuan memaksa suami supaya memberi nafkah isterinya atau ditakzirkan. Dengan cara yang demikian dapatlah menghindarkan pasangan itu daripada bercerai kerana bercerai adalah perkara halal yang tidak disukai Allah S.W.T. Janganlah seorang hakim itu menggunakan jalan yang halal tetapi tidak disukai Allah S.W.T kerana di depannya masih terbentang jalan penyelesaian yang lain.
Di samping alasan yang disebutkan di atas, Mazhab Hanafi juga telah memberi sebuah rumusan iaitu, penceraian mengakibatkan hilangnya hak suami sedangkan tidak memberi nafkah hanya memperlambatkan si isteri itu menerima haknya. Menghilangkan hak adalah lebih besar mudharatnya berbanding memperlambatkan penunaian kewajipan suami terhadap isteri. Maka yang harus diamalkan ialah sesuatu yang lebih ringan mudharatnya. Dalam masalah ini Muhammad Abu Zahrah lebih cenderung kepada pendapat Mazhab Hanafi.
Menurut Imam Malik, Syafie dan Ahmad, Apabila wanita itu mengadu dan memintanya kepada hakim lalu terbukti akan suami itu tidak memiliki harta yang nyata, hakim itu boleh menceraikan seorang wanita daripada suaminya jika ternyata suami itu tidak memberi nafkah.
Di antara alasan mereka (Imam Malik, Syafie dan Ahmad) ialah suami berhak menahan kembali atau menceraikan isterinya dengan baik sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud “Memegang (menahan) kembali isteri”. Ayat ini membawa maksud bahawa suami hidup bersama isterinya semula dengan keadaan yang baik sesudah pernah bercerai. Yang dimaksudkan keadaan yang baik ialah terjamin nafkahnya dan pergaulan yang dijalinkan atas dasar kasih sayang yang mendalam. Jikalau nafkah tidak diberikan oleh suami ke atas isterinya disebabkan tidak mampu atau seumpanya, maka yang demikian itu bukanlah memegang kembali dengan baik seperti yang telah disebutkan dalam Al-Quran. Oleh itu, isteri boleh memilih jalan penceraian menggunakan jalan fasakh.
Pernah ditanyakan kepada Sa’id Bin Al-Musayyab tentang seorang suami yang tidak mampu memberi nafkah kepada isteri, apakah boleh diceraikan keduanya? Jawabnya: “Ya”.
Menurut keterang Ibn Al-Mundhir, bahawasanya Umar Bin Al-Khattab pernah menulis surat kepada pemimpin tentera (di daerah yang jauh) tentang hal suami-suami yang ghaib daripada isterinya. Surat itu mengatakan bahawa supaya diperintahkan kepada mereka mengirim nafkah kepada isteri mereka atau supaya diceraikan dengan cara yang baik. Kalau mereka memilih talak, haruslah dikirimkan juga jumlah nafkah masa yang sudah lalu.
Imam Syafie berpendapat bahawa apabila suami mengakui ketidak mempuannya, maka hakim hendaklah memberi tempoh selama tiga hari kepadanya. Jika ternyata si suami tidak mampu juga dalam tempoh yang telah diberikan, maka pada waktu subuh di hari keempat hakim boleh menjatuhkan talak. Akan tetapi Imam Ahmad berpendapat sebaliknya iaitu tidak perlu diberikan tempoh kepada suami seandainya suami itu sudah jelas ketidak mampuannya. Maka hakim boleh menjatuhkan talak pada ketika itu juga.
8.4.1 Cara Pelaksanaan Fasakh Disebabkan Ketidak Mampuan Suami
Cara pelaksanaannya ialah isteri harus melaporkan kepada hakim dan disertakan dengan bukti atau menurut hasil penyelidikan hakim bahawa suami itu benar-benar tidak mampu. Jika telah sabit barulah hakim boleh bertindak melakukan fasakh.
Apabila si isteri tidak mampu melaporkan kepada hakim disebabkan ada rintangan yang tidak dapat diatasi atau disebabkan ketiadaan hakim, maka ia boleh melakukan fasakh terhadap suaminya atas sebab darurat.
Menurut pendapat Imam Ahamd, apabila wanita memilih untuk menuntut fasakh disebabkan ketidak mampuan suaminya, maka harus dilaporkannya kepada hakim. Apabila laporan itu benar dan terbukti maka hakim akan memberi akan terus memberi pilihan kepada suami sama ada melakukan fasakh atau talak.
Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa hakim perlu memberi waktu kepada suami yang tidak berkemampuan itu. Menurut Imam Malik waktunya ialah sebulan. Imam Syafie pula berpendapat bahawa waktunya ialah tiga hari dan pada hari keempat barulah boleh dilakukan fasakh oleh hakim dan menurut Imam Hammad pula ialah waktu yang diberikan ialah selama satu tahun sama seperti waktu yang diberikan ke atas tuntutan fasakh disebabkan ‘unnah.


8.5 SUAMI GHAIB

Jika suami menghilangkan diri, tidak diketahu lokasinya, tidak meninggalkan sebarang nafkah, tidak mewasiatkan seseorang untuk menafkahi isterinya dan tiada orang yang sukarela menafkahi isterinya lalu pada masa yang sama si isteri pula tidak mempunyai wang untuk menanggung dirinya dan untuk mencari suaminya, maka ia berhak meminta fasakh melalui qadi.
Si isteri harus membawa kes kepada qadi dan qadi menasihati serta menyuruh si isteri bersabar. Jika si isteri enggan menerima nasihat qadi itu dan tidak dapat menahan sabar, maka qadi perlu menulis laporan dengan perantaraan saksi-saksi yang mengenali wanita tersebut serta mengenali suaminya.
Apabila kesemua saksi itu membuat pengakuan tentang ghaibnya suami wanita tersebut dan kegagalan suami itu memberikan nafkah kepada isterinya maka barulah perikahan mereka akan difasakhkan dan proses pemfaskhan ini dinamakan talak raj’i. Dalam erti kata jika si suami pulang dalam tempoh iddah maka suami berhak kembali kepada wanita tersebut.
Tuntutan fasakh disebabkan suami ghaib harus dipertimbangkan sama ada isterinya mendapat kemudharatan disebabkan suaminya ghaib atau tidak. Isteri yang mendapat kemudharatan disebabkan suaminya ghaib boleh menuntut fasakh kepada hakim meskipun suaminya mempunyai harta yang boleh diambil untuk menafkahinya atau membiayai dirinya. Contohnya ghaib adalah seperti berikut:
Ghaib tanpa alasan yang boleh diterima akal.
Ghaib menyebabkan kemudharatn kepada si isteri
.
Ghaib di luar daerah tempat tinggalnya.
Ghaib yang memudharatkan isteri (tempoh ghaibnya selama satu tahun dan lebih)
Jikalau ghaib suami itu dapat diterima akal seperti ghaib disebabkan menuntut ilmu, melancarkan perdagangan, mendapat tugas di luar negeri atau anggota tentera yang bertugas jauh, maka ghaib yang seperti ini bukan merupakan alasan untuk menuntut fasakh.
Para fuqaha telah berbeza pendapat sama ada boleh atau tidak seorang isteri itu menuntut fasakh disebabkan suaminya ghaib. Menurut Mazhab Maliki, isteri boleh meminta fasakh disebabkan suami ghaib dengan syarat tempoh ghaibnya paling kurang satu tahun. Sebelum si isteri ingin menuntut fasakh di mahkamah, hendaklah dikirimkan surat kepada si suami untuk menyuruhnya cepat pulang atau memberitahu kepada si suami bahawa isteri akan datang kepadanya dan jika si suami itu tidak mahu pulang atau tidak mahu menerima kedatangan isterinya hendaklah ia menjatuhkan talak. Akan tetapi jika si suami tidak melaksanakan satu pun apa yang diminta dalam surat yang telah dihantar oleh hakim itu, maka hakim boleh melaksanakan atau menjatuhkan talak ke atas wanita itu bagi pihak suaminya.
Sebelum hakim mengirimkan surat tersebut kepada suami, sebelum wanita itu berasa benar-benar akan jatuh ke dalam jurang penzinaan, sebelum hakim mensabitkan apa yang telah dilapor oleh wanita itu, maka talak tidak boleh dijatuhkan atas wanita. Menurut Imam Malik, talak yang dijatuhkan hakim disebabkan suami ghaib adalah talak ba’in. Manakala Imam Ahmad pula memandangnya sebagai fasakh. Menurut Mazhab Hanafi dan Syafie, seorang isteri tidak boleh meminta cerai disebabkan suaminya ghaib. Hal ini kerana tidak ada dasar untuk membolehkan hal itu dilakukan. Jika suaminya ghaib tetapi mampu memberi nafkah kepadanya, maka si isteri tidak berhak meminta fasakh meskipun berita tentang suaminya itu terputus.
8.5.1 Jangka Masa Ghaib
Menurut Imam Ahmad, apabila suami ghaib selama enam bulan tanpa alasan yang boleh diterima akal maka isteri boleh meminta cerai kepada hakim.
Menurut Imam Malik, jangka waktu ghaib yang membolehkan isteri menuntut fasakh ialah sesudah adanya bukti yang dapat diterima akal. Dalam hal ini Imam Malik tidak menetapkan tempoh waktu yang tertentu atau khusus.
Patut juga ditambah keterangan di sini ialah suami yang ditahan atau dipenjara adalah termasuk dalam kategori suami yang ghaib. Ini merupakan pendapat Imam Malik dan Ahmad. Alasannya ialah suami yang ditahan atau dipenjara secara automatik akan berjauhan daripada keluarganya dan hal ini adalah memudharatkan isterinya.
Apabila suami mendapat hukuman penjara selama tiga tahun atau lebih dan si suami telah menjalaninya hukumannya itu selama satu tahun, si isteri mempunyai hak untuk meminta cerai kepada hakim meskipun suaminya mempunyai harta yang boleh menanggung nafkah isterinya.

8.6 HAMBA YANG TELAH MERDEKA

Jika isteri adalah seorang hamba dan kemudiannya dimerdekakan maka dia mempunyai hak untuk meminta fasakh jika suaminya masih berstatuskan hamba dengan syarat wanita tersebut tidak mengizinkan suami menyetubuhinya setelah dia mengetahui kemerdekaannya.
Walaupun begitu, jika wanita itu mengizinkan dirinya disentuhi suaminya setelah dia mengetahui kemerdekaannya maka dia tidak mempunyai hak untuk meminta fasakh.
Menurut Imam Hanafi, apabila isteri telah merdeka sedangkan suaminya masih berstatuskan hamba, maka isteri boleh meminta fasakh dengan cepat atau selambat-lambatnya tiga hari atau sebelum memungkinkan dirinya disetubuhi oleh suaminya.
Menurut Imam Malik dan Ahmad, mereka berpendapat apabila seorang wanita itu telah menjadi seorang yang merdeka sedangkan suaminya memang seorang yang merdeka, maka si isteri tidak boleh meminta fasakh. Akan tetapi Imam Hanafi pula berpendapat sebaliknya dan mengatakan si isteri boleh meminta fasakh meskipun dalam keadaan yang mana suaminya memang seorang yang merdeka.


8.7 SUAMI HILANG (MAFQUD)

Seorang wanita yang kehilangan suaminya sama ada di darat atau di laut, tidak berita tentang suaminya sama ada masih hidup atau pun sudah mati dan tidak tahu sama sekali di mana keberadaan suaminya. Hal inilah yang dikatakan sebagai suami mafqud.
Isteri yang mafqud suaminya boleh meminta fasakh ke atas pernikahannya. Apabila seorang isteri merasa kehilangan suami seperti keadaan yang telah disebutkan di atas, ia harus melaporkan kepada hakim di atas peristiwa itu. Hakim yang menerima laporan itu akan memberi tempoh kepada si isteri untuk menunggu selama empat tahun. Waktu yang diberikan itu bermula daripada waktu hakim menerima laporan tersebut. Pada masa yang sama hendaklah berusaha mencari kepastian tentang berita suami yang dilaporkan hilang itu. Apabila tidak berhasil akan usaha tersebut dan masa empat tahun itu sudah berlalu, maka isteri yang mafqud suaminya itu boleh mula beriddah sama seperti iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari.
Apabila iddahnya sudah habis, maka halal bagi wanita itu untuk bernikah dengan lelaki lain. Demikianlah pendapat Umar Bin Khattab dan Uthman Bin Affan. Pendapat ini adalah atas pertimbangan bagi menghindari kemudharatan yang menimpa wanita itu disebabkan suaminya yang mafqud.
Ada pula keterangan lain yang mengatakan bahawa Umar Bin Khattab memanggil wali daripada pihak suami yang hilang itu untuk menjatuhkan talak kepada wanita itu sesudah habis tempoh empat tahun kemudian barulah beriddah seperti iddah kematian suami. Pendapat ini adalah pendapat yang dipegang oleh Imam Malik, Ahmad, Ishaq dan salah satu pendapat Imam Syafie serta sekelompok para sahabat.
Pendapat di atas itu berbeza dengan pendapat Abu Yusuf, Muhammad, Imam Hanafi dan salah satu pendapat Imam Syafie. Mereka berpendapat bahawa wanita yang kehilangan suami statusnya tetap sebagai isteri sehingga diperoleh keterangan yang sah dan meyakinkan bahawa suaminya itu telah mati, telah menalaknya atau suaminya telah murtad. Pendapat ini berdasarkan pemikiran bahawa akad nikah yang dilakukan adalah berdasarkan yakin maka tidaklah dapat dihilangkan sesuatu yang yakin kecuali dengan yang yakin. Pemikiran ini bersesuaian dengan sebuah Hadis Mauquf yang bermaksud: “Wanita yang mafqud suaminya adalah wanita yang mendapat ujian. Hendaklah ia sabar sehingga datang berita yang meyakinkan tentang kematian suaminya”.
Golongan Al-Hadawiyyah, salah satu pendapat Ahmad dan sekelompok ulama berpendapat bahawa wanita itu harus menunggu seumur hidupnya apabila berita kematian suaminya tidak kunjung datang. Tegasnya lagi, tidak ada batas waktu untuk menunggu bagi isteri yang hilang suaminya.
Imam Yahya pula berpendapat bahawa tidak ada alasan yang mengharuskan wanita itu menunggu-nunggu. Suami yang mafqud hukumnya sama dengan suami yang berada di samping isteri tetapi suami itu tidak menggauli isterinya. Dalam hal yang seperti ini isteri berhak meminta fasakh kepada hakim. Menurut Al-San’ani, pendapat Imam Yahya adalah pendapat yang terbaik dalam masalah mafqud ini.

8.8 PERBUATAN YANG MEMBAWA KEMUDHARATAN

Apabila terdapat perbuatan suami yang memudharatkan isteri baik mental atau fizikal seperti sentiasa dipukul, dicaci maki, diancam, dipaksa mengerjakan yang haram dan sebagainya maka boleh atau tidak isteri tersebut meminta fasakh kepada hakim? Para fuqaha telah berbeza pendapat mengenai masalah ini.
Menurut Imam Malik dan Ahmad, wanita itu berhak meminta fasakh kepada hakim di atas kepedihan dan penderitaan yang dilaluinya akibat daripada perbuatan suaminya itu dengan syarat si isteri sebelumnya telah berusaha untuk mengatasi masalah tersebut.
Apabila hal itu telah dilaporkan kepada hakim maka hakim akan membuat penelitian yang sepatutnya. Jika terbukti apa yang telah dilaporkan oleh si isteri itu atau si suami mengakui laporan itu dan penderitaan yang dialami oleh isteri itu adalah penderitaan yang sememangnya tidak dapat ditahan oleh wanita-wanita yang lain, maka hakim mahkamah hendaklah berusaha menasihati dan mengislahkan suami isteri itu. Seandainya usaha hakim itu tidak berhasil, maka hendaklah ia menjatuhkan talak kepada wanita itu bagi pihak suaminya dan talak yang dijatuhkan itu adalah talak ba’in.
Jika wanita itu berulang kali mengadu kepada hakim tetapi ia tidak mampu membuktikan kebenaran di atas aduannya itu atau kedua pihak berulang kali mengadu kepada hakim dan keduanya tidak mampu membuktikan kebenaran aduan itu. Hakim akan menyerahkan masalah ini kepada dua orang hakam.
Seandainya terbukti bahawa yang bersalah itu adalah isteri maka kedua-dua hakam itu akan berusaha mententeramkan hati si suami dan menganjurkan supaya bersabar agar mereka dapat berdamai semula. Akan tetapi jikalau kedua hakam memandang bahawa masalah ini tidak dapat dibendung lagi maka kedua hakam itu akan melakukan khulu’ ke atas wanita itu.
Jika kedua-dua hakam itu berkesimpulan dan mengatakan bahawa kedua-dua pihak (suami isteri) adalah salah dan sudah tidak dapat didamaikan lagi maka kedua hakam akan melaksanakan talak suami terhadap si isteri tanpa i’wad. Sebahagian golongan Maliki berpendapat bahawa talak yang seperti itu adalah dilakukan dengan i’wad. Keputusan kedua-dua hakam itu tidak boleh dibatalkan oleh hakim meskipun keputusan itu tidak sesuai dengan mazhabnya. Talak yang demikian adalah dikira sebagai talak ba’in.
Menurut Imam Abu Hanifah dan Syafie, isteri yang mendapat kemudharatan daripada suaminya tidak boleh menuntut fasakh kepada hakim. Untuk menghilangkan kemudharatan itu boleh ditangani dengan cara mentakzirkan suami itu jika si suami tidak memperdulikan nasihat yang telah diberikan oleh hakim iaitu melarangnya daripada memudharatkan isterinya.
Menurut Mazhab Hanafi, status kedua-dua hakam itu adalah sebagai wakil daripada suami isteri. Oleh itu, tidak boleh kedua hakam itu menjatuhkan talak kecuali dengan persetujuan suami isteri.
Menurut Mazhab Syafie, kalau masalah itu berpunca daripada kesalahan isteri maka sudah menjadi kewajipan suami untuk mendidiknya dan memberi pendidikan ilmu agama yang baik. Kalau kesalahan itu berpunca daripada suami (selalu memaki atau memukul isteri tanpa sebab) dan isteri telah mengadukan hal itu kepada hakim lalu terbukti apa yang telah diadukan oleh si isteri itu adalah benar maka hakim hendaklah berusaha melarang suaminya itu. Seandainya si suami mengulangi perbuatannya itu dan isteri meminta kepada hakim untuk mencegahnya, maka hakim boleh mentakzirkan (menghukum) suami itu sesuai dengan kejahatannya.
Kalau ternyata suami isteri itu saling menyakiti antara satu sama lain, maka hakim akan berusaha untuk mencegahnya. Jika perlu kepada takzir, hakim boleh memerikan takzir. Kalau ianya juga tetap tidak berhasil, maka hakim akan mengutuskan dua orang hakam.
Dalam hal ini ada pendapat lain dalam Mazhab Syafie yang berpendapat bahawa kedua orang hakam itu memiliki hak untuk menceraikan suami isteri itu dengan ‘iwad atau tanpa ‘iwad. Hal ini kerana kedua-dua hakam itu adalah berkedudukan sebagai wali.


9.0 KESIMPULAN

Bercerainya suami isteri disebabkan fasakh berbeza dengan penceraian yang disebabkan oleh talak. Hal ini kerana penceraian talak mempunyai di dalamnya talak raj’i dan talak ba’in. Talak raj’i tidak mengakhiri ikatan pernikahan secara terus-menerus manakala talak ba’in pula mengakhiri ikatan pernikahan secara terus-menerus.
Adapun fasakh baik disebabkan hal-hal yang mendatang atau pun disebabkan adanya syarat-syarat yang tidak dipenuhi maka ianya ianya tetap mengakhiri ikatan perkahwinan secara terus-menerus.
Selain itu, bercerainya suami isteri yang disebabkan talak dapat mengurangi bilangan talak itu sendiri. Jika si suami menalak isterinya dengan talak raj’i kemudian ianya kembali pada masa iddahnya atau berakad baru setelah habis iddahnya, maka perbuatan suaminya itu dikira sebagai satu talak. Ini bermaksud suaminya masih mempunyai ruang melakukan talak sebanyak dua kali lagi.
Sedangkan pasangan suami isteri yang bercerai disebabkan fasakh tidak pula mengurangi bilangan talak itu. Mereka boleh bersama semula dengan syarat menggunakan akad yang baru dan si suami masih lagi memiliki kuasa sebanyak tiga kali talak.
Ahli Fiqah daripada golongan Hanafi membuat rumusan umum untuk membezakan pengertian di antara penceraian disebabkan talak dan penceraian yang disebabkan fasakh. Iaitu, jika bercerainya suami isteri disebabkan kemahuan suami dan sama sekali tidak ada pengaruh isteri di dalam penceraian itu maka ianya dikira sebagai penceraian talak. Jika bercerainya suami isteri itu disebabkan kemahuan isteri dan bukan kerana kemahuan suami atau disebabkan kemahuan suami tapi atas pengaruh isteri, maka pencerain itu dikira sebagai penceraian fasakh.




RUJUKAN

Drs. H. Moh. Rifa’i, Fikah Islam Lengkap, 1996, Pustaka Jiwa Sdn. Bhd.
Ustaz Ishak Din, Prof, Dato’ Dr. Haron Din, Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Soal Jawab Fiqh Harian, 1992, HIZBI, Shah Alam Selangor Darul Ehsan.
Ustaz Haji Muhd Taha Suhaimi, Hukum Perkahwinan Dalam Islam, 1990, Persatuan Islam Dan Pencak Silat Singapura.
Hassan Salleh, Asas Kekeluargaan Islam, 1989, Hakcipta Hassan Salleh.
Dr. Peunoh Daly, Hukum Perkahwinan Islam, 1988, Thinker’s Library Sdn Bhd.
Dr. Zaleha Kamarudddin, Raihanah Abdullah, Kamus Istilah Undang-Undang Keluarga Islam, 2002, Zebra Edition Sdn. Bhd.
Khairunnisa’ Yusoff, Xpress Bijak Pendidikan Islam, 2015, Sasbadi Sd. Bhd.
Abu Bakar Jabir Al-Jazairiy, Ensiklopedia Fikah, 2006, Pustaka Dini Sdn. Bhd.
Prof. T. M. Hasbi Ash-Shiddieqy, Hukum-Hukum Fiqih Islam, 1989, Thinkers Library Sdn. Bhd.
Karya Bestari, Al-Haramain Terjemahan & Tajwid Berwarna, 2014, Karya Bestari Sdn. Bhd.